Search

Terowong Sepanggar gelap, bahaya kepada pengguna – Warisan

November 1, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah digesa supaya mengambil tindakan segera memeriksa dan membaiki sistem pencahayaan di Terowong Sepanggar, dekat sini, berikutan keadaannya yang gelap dan berbahaya kepada pengguna.

Ketua Bahagian Parti Warisan Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata keadaan di dalam terowong itu terlalu gelap walaupun pada waktu siang.

“Bayangkan bagaimana pula keadaan pada waktu malam? Situasi ini bukan saja menyukarkan penglihatan pengguna jalan raya, malah boleh meningkatkan risiko kemalangan yang berpotensi meragut nyawa.

“Jangan tunggu sehingga berlaku kemalangan serius atau kehilangan nyawa, barulah pihak berwajib mahu bertindak. Keselamatan pengguna jalan raya sepatutnya menjadi keutamaan, bukannya hanya diberikan perhatian selepas berlakunya tragedi.

“Saya mendesak DBKK dan JKR supaya segera menyelaras tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing, menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pencahayaan terowong dan memastikan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan tanpa berlengah.

“Sekiranya pembaikan memerlukan masa, langkah keselamatan sementara perlu dilaksanakan bagi melindungi pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, sikap sambil lewa dalam aspek penyelenggaraan infrastruktur awam tidak boleh dibiarkan kerana akhirnya dibayar dengan nyawa rakyat sedangkan akyat berhak menggunakan jalan raya yang selamat.

“Saya berharap pihak berwajib memandang serius teguran ini dan mengambil tindakan segera sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku,” katanya. – Info X