Search

Neng Dinobatkan Juara ‘Best of Show’ Konvensyen Tatu Antarabangsa Sabah 2026

November 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hasil seni mencengkam dan penuh ketelitian membawa tuah kepada model bernama Neng, apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama, Best of Show Winner, pada Sabah International Tattoo Convention (SITC) 2026 edisi keempat yang melabuhkan tirainya, pada Ahad.

Karya agung yang dicoretkan oleh artis tatu terkemuka, Mr. Chibi, berjaya memikat hati barisan juri profesional antarabangsa sekali gus mengetepikan saingan sengit ratusan peserta lain dari dalam dan luar negara.

Selain meraih gelaran tertinggi konvensyen, gandingan mantap Mr. Chibi bersama model Xiang turut memenangi tempat pertama bagi kategori Color Work pada hari kedua kejohanan.

Acara berprestij dua hari yang berlangsung di Kimanis Ballroom, Hyatt Regency Kota Kinabalu pada 7 dan 8 November itu, menyaksikan kebangkitan bakat tempatan serta perkongsian kreativiti merentas sempadan yang membabitkan penggiat seni dari 16 buah negara.

Pengerusi Penganjur SITC 2026, Carlos Benny Majakil, melahirkan rasa bangga atas kualiti karya yang dipamerkan sepanjang konvensyen tahun ini.

Menurut beliau, pengiktirafan tertinggi Best of Show kepada Mr. Chibi dan Neng membuktikan bahawa standard seni mencetak ink pada tubuh dalam komuniti ini sudah mencapai tahap global yang sangat luar biasa.

“Konvensyen ini bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi platform penyatuan komuniti kreatif global. Kita dapat melihat evolusi corak tradisional dan moden diadun dengan begitu harmoni.

“Kejayaan penganjuran edisi keempat ini sekali lagi meletakkan Sabah di peta dunia sebagai hab seni dan pertukaran budaya yang disegani,” katanya ketika ditemui selepas upacara penyampaian hadiah.

Sementara itu, anugerah berprestij bagi saingan hari pertama, Best of Day Winner, dirangkul oleh model Kevin dengan artis tatu Shane. Bagi saingan hari kedua pula, gelaran Best of Day Winner menjadi milik model VV menerusi sentuhan magis artis tatu Lumen.

Konvensyen tahun ini turut menyaksikan penguasaan artis tatu Bobby (St. James) yang menyapu bersih tempat pertama dalam tiga kategori utama pada Hari 2, iaitu kategori Best Sleeve (model Anna), Japanese (model Lo), dan Best Backpiece (model Lo). Manakala artis Cheyenne gandingan Ms. Quicky cemerlang pada Hari 1 dengan menjuarai kategori Ornamental dan Lettering.

Barisan juri antarabangsa yang menggalas tanggungjawab berat menilai setiap perincian pemenang edisi ini terdiri daripada pakar industri terkemuka seperti Nui Sangvisead (Thailand), Dani Hellfire (Switzerland), dan Casper Redmer (United Kingdom).-Info X