LABUAN: Seramai 10 lelaki warga China dihantar pulang ke negara asal manakala empat wanita warga Filipina dipindahkan ke Penjara Wanita Kepayan, Kota Kinabalu bagi menjalani hukuman.
Kesemua 14 tahanan terbabit dipindahkan menerusi Operasi Pemindahan Tahanan Imigresen yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan, semalam.
JIM Labuan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, operasi itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Labuan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.
Katanya, empat wanita warga Filipina dibawa ke Penjara Wanita Kepayan bagi menjalani hukuman yang dikenakan terhadap mereka.
“Sementara itu, 10 lelaki warga China pula dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi urusan penghantaran pulang ke negara asal.

“Kesemua pemindahan dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan pengurusan tahanan berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.
Menurut JIM Labuan, operasi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan jabatan dalam memastikan pengurusan tahanan imigresen dilaksanakan secara teratur dan sistematik.
Katanya, pihaknya akan terus komited menjalankan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang imigresen termasuk urusan pemindahan dan penghantaran pulang warga asing.
“JIM Labuan akan terus memastikan setiap urusan pengurusan tahanan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa,” katanya. – Info X