KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menafikan dakwaan kegagalan kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilaksanakan mengikut jadual.
Ketuanya, Datuk Azrul Ibrahim, sebaliknya berkata sebanyak 16 daripada 19 pakej kerja bagi Fasa 1B dilaporkan mendahului jadual sejak dimulakan pada 2024 berikutan komitmen kerajaan GRS memastikan projek itu dilaksanakan dengan lancar.
Katanya, adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan GRS gagal memastikan kelancaran projek itu berdasarkan kelewatan projek Fasa 1A yang membabitkan 16 pakej dengan hanya empat pakej dilapor siap sepenuhnya sejak dimulakan kira-kira 10 tahun lalu.
Beliau berkata, pembinaan Fasa 1A bermula di bawah kerajaan terdahulu, termasuk ketika penamatan kaedah Rakan Penyampai Projek (PDP) pada 2018 sebelum pelaksanaannya dilakukan secara konvensional sehingga sekarang.
“Untuk rekod, dalam pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi Fasa 1B (Fasa 1A berlaku lebih awal), kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor memastikan ia berjalan bermula pada 2024 dan 16 pakej mendahului jadual, ini adalah rekod Kerajaan GRS.
“Jika ada isu kelewatan, kita juga perlu adil melihat dalam konteks pelaksanaan Pan Borneo ini di bawah Kerajaan GRS, di mana banyak pakej Fasa 1B mendahului jadual,” katanya.
Beliau menjelaskan perkara itu pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO dan Ketua-Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, di sini, pada Sabtu.
Mengulas mengenai persoalan kenapa Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak berjalan lancar dan kini siap sepenuhnya berbanding di Sabah walaupun sama-sama menamatkan kaedah PDP, Azrul berkata perkara itu perlu dijawab oleh pemimpin dalam kerajaan terdahulu yang terbabit dalam penamatan kaedah itu.
“Kita mendengar ada pemimpin tertentu yang mempersoalkan pelaksanaan PDP Sabah dan Sarawak batal untuk Pan Borneo tetapi Sarawak diteruskan dan kini berada pada progres yang positif, manakala di Sabah batal dan tidak dapat disiapkan lebih awal.
“Soalan ini wajar dipulangkan kembali kepada mereka kerana pada masa PDP itu dibatalkan, mereka berkuasa. Mereka yang wajar memberikan penerangan mengapa mereka gagal memastikan Pan Borneo diteruskan walaupun kaedah pelaksanaan PDP ditamatkan dan digantikan dengan kaedah konvensional,” katanya.
Beliau berkata, apa yang diharapkan ketika ini ialah memastikan kontraktor projek itu dapat mengejar jadual yang ditetapkan bagi memastikan jalan raya di Sabah dalam keadaan selamat dan efisien untuk dilalui.-Info X