RANAU: Disangka pelanduk ketika mencari katak di kawasan sungai, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun parah selepas terkena tembakan senjata api buatan sendiri atau ‘bakakuk’ di Kampung Tinanom, di sini, malam Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa mengalami kira-kira 13 kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan termasuk leher, dada, bahu, tangan dan lutut kanan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai petani ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ranau kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek keluar memburu seorang diri dengan membawa senjata api buatan sendiri sebelum menyusuri kawasan Sungai Keliu.
“Ketika berada di kawasan berkenaan, suspek ternampak cahaya yang disangkanya mata pelanduk lalu melepaskan satu das tembakan.
“Bagaimanapun, suspek kemudian terdengar jeritan kesakitan sebelum mendapati individu yang terkena tembakan sebenarnya remaja perempuan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mursalin berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang ahli keluarganya dan seorang lagi lelaki pergi ke kawasan sungai untuk menangkap ikan serta mencari katak.

Katanya, mangsa yang cedera kemudian dibawa pulang ke kampung sebelum mendapatkan rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Paginatan.
“Mangsa pada mulanya berada dalam keadaan sedar tetapi mengalami kesukaran bernafas sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami pelbagai kecederaan disyaki akibat tembakan termasuk patah pergelangan tangan kiri dan terpaksa ditidurkan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, petang semalam bagi menjalani pemeriksaan lanjut dan pembedahan.
Menurutnya, siasatan turut mendapati suspek dipercayai membuang senjata api berkenaan ke dalam hutan selepas kejadian.
“Setakat ini, senjata api terbabit belum ditemukan dan usaha mengesannya sedang dijalankan dengan bantuan pasukan forensik serta Bahagian D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, manakala permohonan reman terhadap suspek dibuat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – Info X