Search

KEPKAS RANCANG PELBAGAI PROGRAM, TANGANI ISU HIDUPAN LIAR

February 13, 2023

admin

KOTA KINABALU: Pelbagai program bakal dilaksanakan tahun ini bagi menangani isu-isu berkaitan sumber khazanah hidupan liar di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, isu seperti gangguan dan ancaman hidupan liar adalah suatu masalah mencabar dan aduan awam terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Gangguan gajah di ladang-ladang sawit dan kawasan pekebun kecil sentiasa berlaku khususnya dikawasan tengah Sabah dan pantai timur.

“Banyak usaha perlu dilaksanakan bagi mengurangkan masalah ini sebagai langkah serta-merta termasuklah menubuhkan Task Force gajah di daerah yang terlibat bagi memantau pelaksanaan semua program yang sudah dirancang.

“Selain itu, pemasangan pagar elektrik di ladang-ladang yang bersempadan dengan hutan, mewujudkan koridor laluan gajah, aktiviti menghalau gajah masuk semula ke dalam hutan dan program translokasi gajah perlu dilaksanakan dengan segera.

“Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah juga perlu memperkemas dan menambahbaik semua fasiliti gajah terdapat di Kinabatangan yang dikenali sebagai Borneo Elephant Santuary (BES).

“Dalam pada itu, ancaman buaya dan gangguan monyet juga perlu dititik beratkan. JHL hendaklah menjalankan penakaian buaya di tempat-tempat yang mengalami ancaman reptilia berkenaan selain menangkap pindah monyet-monyet yang sering kali diadukan di hampir semua daerah di Sabah,” katanya ketika berucap sempena Majlis Amanat dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) Bersama Agensi, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Christina dalam ucapan sama turut berkata, program menangani konflik antara hidupan liar dan manusia ini perlu sentiasa diperhebatkan agar masalah sama dapat diatasi.

Menurutnya, unit khusus iaitu Unit Risikan JHL yang sudah ditubuhkan pada tahun lalu juga perlu diperkasakan bagi menangani isu jenayah sebagai usaha memastikan hidupan liar di Sabah terus terpelihara.

“Kita meminta JHL untuk merangka pelan jangka masa panjang seperti mewartakan dan seterusnya membangunkan kawasan koridor laluan habitat hidupan liar terutama gajah agar tetap kekal dalam habitatnya selain tidak keluar mengganggu kawasan penempatan.

“Proses inventori buaya turut perlu dipercepatkan bagi mematuhi deklarasi dan ketetapan Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) agar populasi buaya dapat dikawal dan mengurangkan ancaman kepada manusia,” katanya. – Info X