PAPAR: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 28, Jalan Kimanis – Keningau, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa berusia 64 tahun dalam perjalanan dari Keningau menuju ke rumahnya di Pengalat, di sini.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu kereta jenis Proton Persona, manakala lori jenis Sinotruk dipandu lelaki tempatan berusia 35 tahun datang dari arah bertentangan.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai membelok ke kanan untuk memasuki satu simpang.

“Bagaimanapun, disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak sebelum kereta dipandunya merempuh bahagian sisi kiri lori berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tersepit di dalam kenderaan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Heryan berkata, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

“Pemandu lori berusia 35 tahun itu sudah ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum membelok atau memasuki simpang, terutama pada waktu malam.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor EL Najeeb Abdul Rhahman di talian 016-881 3880 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X