Tebang pokok: YB Likas gesa DBKK libatkan wakil rakyat

November 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meningkatkan ketelusan dan penglibatan wakil rakyat susulan kebimbangan orang ramai berhubung penebangan pokok di tepi jalan di beberapa kawasan sekitar Likas.

Katanya, beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada DBKK yang memaklumkan kerja-kerja berkenaan perlu dilaksanakan bagi memberi laluan kepada projek pelebaran jalan, menebang pokok yang telah tua dan reput serta mengelakkan risiko keselamatan awam.

Walaupun memahami faktor keselamatan yang dibangkitkan, khususnya ketika angin kencang dan hujan lebat, Tham mempersoalkan mengapa wakil rakyat tidak dimaklumkan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja itu dilaksanakan.

“Sebagai wakil rakyat Likas, saya tidak dimaklumkan mahupun dirujuk sebelum kerja-kerja penebangan pokok ini dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, DBKK turut memberi jaminan penanaman semula akan dilaksanakan dengan menggunakan pokok bersaiz lebih kecil, tanaman hiasan dan pokok berbunga yang lebih sesuai dengan persekitaran.

Tham menyambut baik jaminan itu dan berkata beliau akan memantau pelaksanaannya, sambil mengambil maklum kebimbangan penduduk terhadap risiko pokok tua susulan beberapa kejadian pokok dan dahan besar tumbang sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata isu berkenaan turut menimbulkan persoalan lebih besar mengenai pengecualian wakil rakyat pembangkang daripada Mesyuarat Tindakan Bandaraya yang mungkin membincangkan perkara berkaitan kawasan mereka.

“Wakil rakyat tidak sepatutnya diketepikan daripada sebarang perbincangan hanya kerana mereka datang daripada parti politik yang berbeza. Kami mewakili rakyat, bukan semata-mata parti masing-masing,” tegasnya.

Sehubungan itu, Tham menggesa DBKK supaya melibatkan semua wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik dalam Mesyuarat Tindakan Bandaraya dan proses membuat keputusan yang memberi kesan kepada penduduk.

Katanya, penglibatan itu penting bagi memastikan suara dan kebimbangan penduduk dapat diketengahkan serta ditangani sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan.

Beliau menegaskan keselamatan awam perlu sentiasa diutamakan, namun aspek ketelusan, pemeliharaan alam sekitar dan hak penduduk untuk didengari juga tidak boleh diabaikan.

Tham berkata beliau akan terus berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan penduduk Likas sentiasa terpelihara. – Info X