Liga Super: Sabah FC waspada jumpa Kelantan

November 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC tidak memandang rendah kemampuan Kelantan Red Warrior (KRW) FC ketika bertandang ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu dalam aksi Liga Super, malam ini.

Pengendalinya, Juan Torres Garrido berkata, pasukan tercorot dalam carta Liga Super itu tetap berpotensi untuk memenangi perlawanan, lebih-lebih lagi mereka bermain di gelanggang sendiri.

Beliau mengingatkan pemain Sang Badak supaya tidak melihat kedudukan pasukan lawan sebagai kelebihan buat Sabah hingga lalai dalam mencapai misi membawa pulang tiga mata dari Kelantan.

“Kita tidak pernah memandang rendah kemampuan pihak lawan, lebih-lebih lagi kita bermain menentang pasukan yang bersemangat untuk meraih kemenangan dan mata di hadapan penyokong sendiri,” katanya mengulas persiapan Sabah FC menentang KRW.

Beliau berkata, pasukannya menyasarkan tiga mata dalam aksi malam ini bagi meneruskan momentum positif selepas mencatat keputusan memberangsangkan dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini.

Garrido mahu pasukan bimbingannya mengekalkan rentak positif itu sebagai persediaan menghadapi tiga perlawanan penting di laman sendiri sebelum penghujung tahun ini.

“Persembahan berkualiti dan keputusan positif adalah cara terbaik untuk membalas sokongan penyokong dan kita mengharapkan kehadiran lebih ramai peminat pada tiga aksi seterusnya di Stadium Likas,” katanya.

Selepas perlawanan menentang KRW, Sang Badak bakal menanti kunjungan Selangor FC pada 28 November, diikuti Melaka FC pada 5 Disember dan Kuala Lumpur City FC pada 11 Disember depan.

Ketiga-tiga perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Likas.-Info X