PENAMPANG: Meskipun sudah bergelar pesara, seramai 15 bekas guru Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) tidak melepaskan peluang untuk mendalami kemahiran era digital, khususnya berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Peluang itu dimanfaatkan menerusi penganjuran Kursus Pemerkasaan Kecerdasan Buatan (AI) Siri 2/2026, di sini, Shuang Hor, di sini, pada Selasa, bertujuan meningkatkan pengetahuan, pemahaman dan kemahiran memanfaatkan teknologi AI.
Kursus itu dikendalikan jurulatih AI dan pemasaran viral, Joharin Adimin, dengan memberi penekanan kepada penggunaan AI dalam pengurusan organisasi, perniagaan serta urusan harian secara lebih kreatif, pantas, cekap dan berkualiti.
Presiden PMPS, Dr Aslie Sahat, berkata kursus itu turut bertujuan meningkatkan produktiviti melalui penggunaan aplikasi AI secara bijak, sistematik dan berterusan.
Katanya, ia boleh dilakukan dengan mengintegrasikan teknologi berkenaan bersama pendekatan pengurusan berkualiti berasaskan piawaian ISO 9000, kitaran penambahbaikan PDCA (Plan-Do-Check-Act) dan Tujuh Prinsip Pengurusan Kualiti.
“Perkembangan teknologi AI bukan sekadar menawarkan kemudahan digital, malah membuka peluang meningkatkan kecekapan pentadbiran, mempercepat proses membuat keputusan, mengurangkan beban tugas berulang serta menghasilkan kerja lebih berkualiti,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, penggunaan AI perlu disertai pengetahuan, pertimbangan manusia, integriti dan tanggungjawab.
Jelasnya, teknologi itu berperanan sebagai alat sokongan untuk meningkatkan keupayaan manusia, bukannya menggantikan kebijaksanaan, pengalaman dan nilai kemanusiaan.
Beliau berharap kursus itu menjadi titik permulaan pembudayaan pembelajaran digital dan AI dalam kalangan bekas pendidik, sekali gus menggabungkan pengalaman serta kepakaran mereka dengan teknologi baharu untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Tambahnya, PMPS berhasrat memperluaskan lagi program pemerkasaan digital dan AI menerusi perkongsian ilmu, latihan berterusan serta aplikasi praktikal dalam pengurusan organisasi dan komuniti, bagi memastikan bekas pendidik terus relevan dalam mendepani cabaran digital masa kini dan masa depan. – Info X