Maklumat penduduk bawa kepada rampasan rokok tidak bercukai

November 26, 2026

Info X Reporters

RANAU: Maklumat disalurkan penduduk setempat membawa kepada penemuan beberapa kotak mengandungi rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dalam Op Tiris di daerah ini, semalam.

Seorang lelaki turut ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, operasi berkenaan dijalankan bagi memeriksa lesen penjual dan pengedar barangan keperluan bersubsidi di beberapa premis bagi membanteras kegiatan penyelewengan serta penyeludupan.

Katanya, hasil maklumat disalurkan masyarakat setempat, pemeriksaan membawa kepada penemuan beberapa kotak mengandungi rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai kastam.

“Seterusnya seorang lelaki yang disyaki ditangkap berkaitan kes ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mursalin berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat daerah berkenaan atas kerjasama dan sikap prihatin dalam menyalurkan maklumat kepada polis.

“Masyarakat bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyalurkan maklumat awal bagi membanteras jenayah secara berkesan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus mempergiatkan rondaan serta pemeriksaan menerusi Op Tiris bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang di daerah berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Info X