Teliti segera aspek pengurusan tenaga di Sabah – Shafie

November 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gangguan elektrik di pantai timur berikutan menara tumbang di Ranau memerlukan penelitian serius terhadap aspek pengurusan tenaga dalam usaha memastikan bekalan tanpa gangguan besar berulang di negeri ini.

Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pengurusan infrastruktur, penyelenggaraan pencegahan dan pengawasan kawal selia adalah antara aspek yang perlu diberi keutamaan.

Katanya, Sabah Electricity perlu proaktif mengambil langkah pencegahan bagi mengelak sebarang kemungkinan gangguan bekalan yang disebabkan kerosakan infrastruktur seperti menara tumbang di Ranau.

“Kejadian sebuah menara penghantaran elektrik tumbang di Ranau telah menjejaskan bekalan elektrik di seluruh pantai timur Sabah, melibatkan lebih 150,000 pengguna berdaftar.

“Gangguan berskala besar ini menuntut penelitian serius terhadap pengurusan infrastruktur, penyelenggaraan pencegahan dan pengawasan kawal selia di Sabah.

“Sabah Electricity sendiri mengakui bahawa hakisan tebing Sungai Liwagu telah dikesan sejak Januari lalu dan kerja pengukuhan dilaksanakan pada Mac.

“Hujan lebat mungkin menjadi pencetus kejadian ini, namun risikonya telah diketahui hampir 10 bulan lalu. Adakah langkah yang diambil mencukupi untuk melindungi infrastruktur kritikal ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, bertanya kepada Sabah Electricity mengenai pengajaran yang diambil syarikat utiliti itu memandangkan kejadian serupa pernah berlaku pada September tahun lalu.

“Apakah pengajaran yang
diambil dan apakah langkah yang telah dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian berulang?

“Tumbangnya sebuah menara telah menyebabkan dua talian penghantaran 275kV terputus, mengakibatkan kehilangan bekalan elektrik sebanyak 295MW,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pantai timur Sabah masih bergantung kepada satu laluan penghantaran elektrik sedangkan risikonya sudah diketahui sejak kejadian tahun lalu.

Shafie juga bertanya mengenai Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bernilai RM645 juta di Lahad Datu diumumkan kerajaan khusus untuk menstabilkan bekalan elektrik di pantai timur Sabah.

“Berapakah jumlah tenaga elektrik yang sebenarnya dibekalkan oleh kemudahan ini sepanjang krisis semasa dan sejauh manakah ia berjaya mengurangkan gangguan
bekalan,” soalnya.

Pada masa yang sama, beliau juga bertanya mengenai status terkini projek Southern Link yang diumumkan menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM765 juta menerusi Belanjawan 2026.

“Bilakah pantai timur Sabah akhirnya akan mempunyai laluan penghantaran elektrik alternatif dan apakah langkah perlindungan yang dilaksanakan sementara menunggu projek ini disiapkan,” katanya.

Katanya, sepanjang enam hari tempoh pemulihan grid yang disasarkan Sabah Electricity, ramai yang terkesan termasuk kerugian kepada peniaga, gangguan perkhidmatan asas dan menambah perbelanjaan keluarga.

Setakat ini, tujuh daerah di pantai timur, termasuk Semporna masih terjejas akibat insiden menara elektrik tumbang pada Khamis yang menyebabkan bekalan elektrik disalurkan melalui sistem grid Sabah terputus. – Info X