Explore Sabah berpotensi perkenal Sabah dengan lebih luas – KM

November 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Program
Explore Sabah berpotensi menjadi platform memperluas pengenalan budaya, gastronomi etnik, kraftangan dan produk tempatan kepada pelawat dari dalam dan luar negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Explore Sabah bukan sekadar satu inisiatif mempromosikan destinasi pelancongan, malah mempunyai fungsi yang lebih luas.

“Lebih penting, ia adalah usaha strategik untuk mengangkat keunikan Sabah, memperkenalkan identiti masyarakatnya dan menghubungkan kekayaan khazanah negeri ini dengan peluang ekonomi yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program Explore Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji mengucapkan tahniah kepada Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) dan MSH Mega Tech Sdn Bhd atas inisiatif memperkenalkan Explore Sabah.

Katanya, ia adalah sebuah platform yang menggabungkan kekayaan khazanah budaya, pelancongan, teknologi digital dan keusahawanan tempatan.

“Saya berharap inisiatif ini akan berkembang secara berterusan dengan melibatkan lebih banyak komuniti dan daerah supaya keunikan Sabah dapat diketengahkan secara menyeluruh,” katanya.

Ketua Menteri berkata cabaran pada masa kini adalah untuk memastikan kekayaan khazanah Sabah tidak sekadar dipelihara, malah turut dimanfaatkan sebagai sumber peluang pendidikan, pekerjaan, keusahawanan dan penjanaan pendapatan rakyat.

“Kita perlu bergerak lebih jauh dengan menghubungkan khazanah budaya dengan inovasi, pelancongan dengan ekonomi komuniti serta produk tempatan dengan pasaran yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga mahu sektor pelancongan bukan sahaja meningkatkan jumlah kunjungan pelawat, tetapi turut membawa manfaat ekonomi yang lebih meluas kepada rakyat, khususnya usahawan kecil, peniaga tempatan dan komuniti luar bandar.

“Ini kerana Sabah memiliki tarikan pelancongan yang amat pelbagai, daripada keindahan alam semula jadi, pulau-pulau yang menakjubkan hinggalah kepada kekayaan budaya, makanan tradisional, kraftangan dan pengalaman komuniti.

“Bayangkan pelawat yang datang ke Sabah bukan sekadar menikmati keindahan alamnya, tetapi turut mengenali makanan tradisional, membeli kraftangan tempatan, mengunjungi tarikan budaya dan menyokong perniagaan komuniti.

“Dengan pendekatan ini, pengalaman pelancongan menjadi lebih bermakna, sementara perbelanjaan pelawat dapat membuka peluang pendapatan kepada lebih ramai rakyat tempatan.

“Inilah pendekatan yang perlu kita perkukuh, iaitu menjadikan pelancongan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi yang turut melibatkan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata transformasi digital yang menjadi keperluan masa kini untuk meningkatkan daya saing dan membuka akses kepada peluang pasaran yang lebih luas tidak seharusnya hanya dinikmati oleh syarikat besar atau perniagaan yang sudah maju.

“Usahawan kecil, pengusaha kraftangan, penyedia makanan, pengusaha penginapan desa dan komuniti luar bandar juga perlu diberikan peluang untuk turut serta,” katanya.

Beliau juga menyambut baik inisiatif MAGEBS bersama rakan teknologinya, MSH Mega Tech Sdn Bhd memperkenalkan MAGEBS (SABAH) Smart Card sebagai salah satu pemudah cara digital bagi menyokong pelaksanaan Explore Sabah.

“Saya melihat pendekatan ini sebagai satu usaha yang selari dengan keperluan semasa. Explore Sabah memperkenalkan keunikan dan pengalaman meneroka negeri ini, manakala Smart Card berpotensi menghubungkan pengalaman tersebut dengan produk, perkhidmatan dan perniagaan tempatan.

“Saya berharap platform ini dapat membantu meningkatkan keterlihatan perniagaan tempatan, memperluas penyertaan usahawan dan membuka ruang kepada penerokaan pasaran baharu,” katanya.

Ketua Menteri turut menggesa persatuan-persatuan etnik untuk meneruskan usaha memelihara adat, bahasa, seni dan khazanah masing-masing agar dapat diwarisi oleh generasi masa kini dan akan datang.

“Kepada usahawan dan peniaga, teruskan berinovasi, meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan serta berani meneroka pasaran baharu. Kepada golongan belia, manfaatkan teknologi sebagai wadah membina kemahiran, mencetuskan idea dan mencipta peluang ekonomi,” katanya.

Hadir sama Yang Dipertua MAGEBS, Datuk Abdullah Sibil dan Pengarah Urusan MSH Mega Tech, Datuk Shaiful Harun. – Info X