PENAMPANG: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) menyokong penuh kenyataan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menyatakan syarat penggunaan tanah berstatus “Native Title” (NT) diperluaskan merangkumi aktiviti lain.
Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun berkata, aktiviti berkenaan termasuklah perindustrian dan pembangunan perumahan.
“Jika perkara ini direalisasikan, ia akan memberi manfaat terutamanya kepada semua Anak Negeri (native) di Sabah.
“KDCA percaya kerajaan boleh mencari kaedah-kaedah yang sesuai untuk memastikan status “Native Title” tidak terjejas dengan perluasan pengunaan tanah tersebut seperti untuk aktiviti komersial,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Suman berkata, tanah adalah satu aset yang tidak ternilai harganya bagi anak negeri kerana ianya adalah sinonim dengan identiti mereka sebagai orang asal negeri ini.
Menurutnya, tanah NT juga merupakan satu legasi nenek moyang orang-orang asal negeri yang akan diwarisi dari generasi ke generasi seterusnya.
“Sejak kebelakangan ini, banyak tanah NT telah ditukar status kepada “Country Lease” (CL), terutamanya di kawasan bandar.
“Perkembangan ini amat membimbangkan kerana ia akan mengakibatkan tanah berstatus NT berkurangan dan mengancam pemilikan tanah anak negeri.
“Oleh itu, KDCA bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dan memberi bantuan yang perlu ke arah merealisasikan hasrat yang murni ini,” katanya.
Terdahulu, Jeffrey menerusi laporan media pada 11 Februari lalu bersetuju agar syarat-syarat pengunaan tanah yang berstatus “Native Title” (N.T) diperluaskan untuk merangkumi aktiviti yang lain seperti perindustrian dan pembangunan perumahan dan tidak terhad kepada pertanian sahaja. – Info X