Search

GRS sama seperti GPS? Biar rakyat nilai sendiri – Hajiji

March 2, 2023

admin

KOTA KINABALU: Sama ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada pada kedudukan yang sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang hanya disertai parti tempatan, itu terpulang kepada rakyat untuk menilainya, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, apa yang jelas gabungan itu kini dianggotai sepenuhnya parti tempatan Sabah dengan kemasukan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang turut diketuainya.

Katanya, berbeza ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berada dalam gabungan itu sebelum ini, GRS dilihat masih dikuasai parti luar berbanding GPS di Sarawak.

“GRS kini kita ada parti tempatan yang baharu (Gagasan Rakyat). Dulu ketika BERSATU dalam GRS, kita dicakap ini lain daripada Sarawak, tapi sekarang semuanya tempatan.

“Jadi, terpulang kepada rakyat fikir sama ada kita di Sabah kini sudah macam di Sarawak atau tidak. Apa yang penting kita sudah menyambut asprasi rakyat yang mahukan parti tempatan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Gagasan Rakyat, di sini, hari ini.

Ketua Menteri Sabah itu berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada GRS kini sudah menjadi seperti GPS yang mana semua parti gabungannya terdiri daripada parti tempatan.

Sebelum ini, pemimpin parti komponen GRS menyatakan harapan untuk melihat gabungan itu menjadi seperti GPS di Sarawak sebagai saluran yang lebih kuat dalam menyuarakan hak Sabah.

GRS kini dianggotai Gagasan Rakyat yang mempunyai wakil rakyat paling ramai, diikuti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Hajiji berkata, beliau sebelum ini turut meminta pendapat veteran politik Sabah, khususnya bekas Ketua Menteri yang juga bekas Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berhubung usaha memperkukuh GRS.

Katanya, Pairin menyatakan perlunya GRS diperkukuhkan dan menjadi wadah politik Sabah yang kuat dengan penyertaan parti politik tempatan sepenuhnya.

“Kita perlu dengar pandangan orang lama juga, kalau bagi nasihat kita kena dengar dan ambil mana yang sesuai. Semua nasihat saya dengar termasuk kita (media), kalau bagus saya dengar,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Gagasan Rakyat, Hajiji berkata pelancaran parti itu hari ini menandakan bermulanya usaha untuk mengembangkan perjuangannya yang tertumpu kepada membela rakyat negeri ini ke seluruh negeri.

“Kita akan menggerakkan penubuhan cawangan dan bahagian untuk mendapatkan keahlian seramai yang mungkin dari seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita baru saja bermula tetapi saya yakin parti ini akan mendapat sambutan yang baik. Kita juga akan terus bersama komponen GRS yang lain dan Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir dan mengurus Sabah,” katanya.

Gagasan Rakyat pada asalnya ialah sebuah parti sedia ada yang diberi nafas baharu oleh Hajiji dan bekas pemimpin BERSATU Sabah selepas mengambil alih kepemimpinan parti itu menerusi mesyuarat agung khas pada awal bulan lalu.

Semua bekas pemimpin BERSATU Sabah yang keluar daripada parti itu pada Disember lalu menyertai Gagasan Rakyat kecuali empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Datuk Jonathan Yasin (Ranau), Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi).

Parti itu turut disertai empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan empat bekas ADUN WARISAN yang keluar parti bulan lalu menjadikan jumlah ADUN Gagasan Rakyat ketika ini seramai 25 orang. – Info X