TAWAU: Dengan misi untuk membawa perubahan dalam parti dan mengukuhkan UMNO Kalabakan, bekas wakil calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kalabakan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Samasuddin Bin Yusop atau turut dikenali sebagai SBY menawarkan diri bertanding Ketua UMNO Kalabakan.
Pada pemilihan yang dijadual diadakan 18 Mac ini, Samasuddin bersaing bersama empat lagi calon bagi jawatan nombor satu UMNO bahagian itu yang sebelum ini dipegang Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Mohd Suryady Bandy.
Samasuddin yang juga Ketua Cawangan UMNO Kampung Sentosa Blok I, Kalabakan antaranya berdepan saingan daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Dr Patawari Patawe dan bekas ADUN Balung, Datuk Osman Jamal.
Dua lagi pesaingnya ialah Devid Udin dan Rahima Yayah.
Samasuddin berkata, beliau menawarkan khidmat sebagai pemimpin baharu di bahagian berkenaan dalam usaha memulih dan mengukuhkan lagi kedudukan UMNO Kalabakan.
“Alhamdulillah petang tadi (semalam) telah selesai Cabutan Nombor Calon-Calon Yang Bertanding Bagi Pemilihan UMNO Bahagian Kalabakan 2023-2026.
“Saya sendiri telah membuat cabutan tersebut dan rezeki saya kali ini akan berganding dengan angka, #Nombor3
“Saya percaya setiap yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri. Bersamaan 3 Mac 2023, saya ditakdirkan menggunakan nombor 3 sepanjang kempen pemilihan Ketua UMNO Bahagian Kalabakan 2023-2026.
“Selain itu, angka 3 menjadi jumlah perkataan di dalam slogan keramat UMNO dari dulu, kini dan InsyaAllah selamanya melalui kalimah BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, angka 3 juga sinonim dengan #WAWASAN yang akan beliau bawa melalui kombinasi 3 huruf mewakili namanya iaitu S, B dan Y.
“Saya telah meletakkan tiga wawasan tersebut dalam membawa bahtera UMNO di Bahagian Kalabakan ini melihat kepada landskap politik semasa di Sabah dan juga di peringkat Nasional.
“InsyaAllah, 3 wawasan ini akan saya kongsikan dalam saluran media sosial dan juga siri jelalah pertemuan para Perwakilan di Bahagian Kalabakan.
“Justeru, mohon izin buat semua Perwakilan UMNO Kalabakan untuk berikan saya mandat dan amanah sebagai Ketua UMNO Bahagian Kalabakan 2023-2026.
“Ingatlah!! UMNO ini bukan hak milik persendirian, tapi UMNO untuk kita SEMUA,” katanya. – Info X