TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau melakukan 66 tangkapan atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan mencecah RM3 juta.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, ia hasil 3,500 pemeriksaan yang dijalankan di perairan daerah ini sepanjang 2022.
Katanya, antara kesalahan yang membabitkan tangkapan di bawah Akta Kawalan Bekalan, Akta Imigresen dan aktiviti penyeludupan dadah.

“Maritim Malaysia Zon Tawau merekodkan sebanyak 3,500 pemeriksaan di laut membabitkan pelbagai aset dan juga melaksanakan 66 tangkapan yang membabitkan pelbagai kesalahan.
“Terutama mengikut Akta Kawalan Bekalan, Akta Imigresen dan kita juga berjaya mematahkan penyeludupan dadah antara terbesar di Tawau dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah sehingga RM3 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Latihan Pengendalian Senjata Kecil Pistol membabitkan pegawai dan anggota Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau di Lapang Sasar Kau Sing, di sini, baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama dua hari itu membabitkan 170 pegawai dan anggota Maritim Malaysia Zon Tawau serta pengamal media.
Mengulas lanjut, Shahrizan berkata, bagi tahun ini, berakhir 1 Mac lalu, Maritim Malaysia sudah melakukan 500 pemeriksaan di laut dengan kejayaan lapan tangkapan pelbagai kesalahan.
Shahrizan tidak menolak faktor jarak sempadan yang terlalu hampir dengan negara jiran Indonesia dan Filipina menyebabkan aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) sering berlaku.
Namun katanya, Maritim Malaysia sentiasa siap siaga melaksanakan tugas bagi memastikan keadaan perairan daerah ini terkawal. – Info X