LAHAD DATU: Tiga beradik termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Bekapit, Jalan Tungku, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa Ellaine Sappari, 4, kakak dan abangnya Isang, 39, serta Amil, 45, yang menaiki motosikal jenis Honda Wave disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.02 malam.
Katanya, seramai lima pegawai dan anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan lapan mangsa dari tiga kenderaan iaitu motosikal Honda Wave, Mitsubishi Triton dan Isuzu D Max.
“Tiga mangsa yang menaikan motosikal disahkan meninggal dunia manakala lima lagi mangsa daripada dua kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tiada operasi menyelamat dilakukan oleh pasukan bomba hanya pemeriksaan oleh anggota EMRS kepada mangsa terbabit.
“Operasi ditamatkan pada jam 8.50 malam,” katanya. – Info X