LAHAD DATU: Tindakan pemandu pacuan empat roda memotong kenderaan dihadapannya secara berbahaya dipercayai punca kemalangan maut di Kilometer 30, Jalan Lahad Datu-Tungku, semalam.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, tiga beradik termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang menaiki motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bertembung kereta Mitsubishi Triton.
Mangsa iaitu Ellaine Sappari, 4, kakak dan abangnya Isang, 39, serta Amil, 46.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Abdul Razak berkata, hasil siasatan awal mendapati, semua mangsa yang menaiki motosikal bergerak dari arah Tungku ke Lahad Datu.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu pacuan empat roda berusia 52 tahun yang bergerak dari arah bertentangan tiba-tiba bertindak memotong sebuah lagi kenderaan dihadapannya sebelum merempuh motosikal mangsa.
“Kemalangan mengakibatkan tiga mangsa tercampak ke lorong kiri sebelum dirempuh sebuah lagi kenderaan Isuzu DMax.
“Ketiga-tiga mangsa berusia 4 hingga 45 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Azmir berkata, siasatan awal, semua pemandu kenderaan dan penunggang motosikal terbabit tidak disyaki berada dibawah pengaruh dadah atau alkohol.
“Bagaimanapun, sampel darah sudah diambil untuk dianalisa oleh pihak Jabatan Kimia Malaysia bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Azmir berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana pihak atau saksi kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Humaifi Harun di talian 089-881255 sambungan 414 bagi membantu siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, Azmir menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.
Katanya, pengguna jalan raya perlu mengamalkan sikap sabar dan berhati-hati ketika memandu agar tidak membahayakan nyawa pengguna jalan yang lain. – Info X