KINABATANGAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika menguji bot miliknya di sungai Kampung Bengkala Buang Sayang Suan Lamba, di sini, sejak tiga hari lalu, akhirnya ditemukan lemas, hari ini.
Mangsa Alner Kalim berusia lingkungan 20 tahun ditemukan penduduk kampung sejauh enam kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga yang disambung jam 9.39 pagi tadi di tepi sungai dengan menggunakan dua bot milik JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, operasi SAR dijalankan dalam radius lima kilometer dari PKTK dan dilaporkan mangsa ditemui penduduk kampung di kawasan labukan enam kilometer dari PKTK.
“Mayat mangsa dibawa ke jeti Kampung Bengkala Buang Sayang Suan Lamba menggunakan bot penduduk kampung.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR ditamatkan pada 2.36 petang.
Dalam kejadian 7 Mac lalu, mangsa dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya ditemui tanpa pengemudi di sungai Kampung Bengkala Buang Sayang Suan Lamba, oleh penduduk kampung.
Mangsa dikatakan keluar jam 11 pagi untuk membuat ujian bot miliknya di sungai berkenaan.
Bagaimanapun orang kampung menemui botnya karam dan mangsa tidak berada di lokasi dikhuatiri hilang. – Info X
