KOTA KINABALU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang pegawai kanan polis sebanyak RM650 pada 19 Jun 2022.
Tertuduh, Ghani Ahmad, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba merasuah pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) terbabit supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana memandu tanpa lesen.
Tertuduh turut cuba merasuah sebagai dorongan untuk membebaskan rakannya, Malali Juani atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Ghani dituduh melakukan kesalahan itu di bulatan Yayasan Sabah, pada jam 7.45 pagi, 19 Jun tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Norsham Saharom manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.
Terdahulu, Mahkamah menetapkan ikat jamin terhadap tertuduh sebanyak RM10,000 dan deposit RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Hakim turut menetapkan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu setiap dua bulan sekali. – Info X