KOTA KINABALU: Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, sudah tiba masanya kementerian itu serta jabatan dan agensinya membuat penambahbaikan segera untuk memperbaiki kelemahan, seterusnya dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan.
Beliau berharap, komitmen padu dapat terus diberikan dalam membaik pulih aset yang terjejas terutamanya yang melibatkan infrastruktur dan perkhidmatan.
Kerja-kerja pembaikan dan pemantauan berterusan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan hak dan kebajikan rakyat terjaga.
“Tidak dinafikan Kementerian Kerja Raya (KKR) sememangnya mempunyai hubungan secara langsung dan sangat rapat dengan rakyat.
“Sebagai agensi yang terlibat dalam membina dan menyelenggara infrastruktur, utiliti dan perkhidmatan pengangkutan sudah tentu kita tidak akan terlepas dari komen atau aduan orang awam.
“Kerja-kerja pembaikan dan pemantauan berterusan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan hak dan kebajikan rakyat terjaga,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga KKR, di sini, malam tadi.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pelaksanaan setiap perancangan jabatan dan agensi harus dipantau prestasinya.
Katanya, ketua jabatan di bawah kementerian harus memantau prestasi keseluruhan jabatan untuk memastikan mereka dapat bergerak seiring dan memastikan jabatan berada pada landasan yang tepat.
“‘Lead by example’ adalah sifat yang seharusnya sentiasa disemat dalam diri tuan puan semua.
“Budaya kerja yang berintegriti, cekap dan efisien adalah merupakan budaya kerja yang perlu ada di dalam diri setiap warga kerja kementerian ini.
“Berilah perkhidmatan yang terbaik semasa menjalankan tugas dan tanamlah sikap sentiasa inginkan penambahbaikan perkhidmatan baik dari segi sistem penyampaian, proses kerja dan penghasilan agar ianya benar-benar dapat memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan Sabah,” katanya. – Info X