SANDAKAN: Seorang lelaki warga Filipina dipercayai terjun ke laut di Pelabuhan Karamunting, di sini, Rabu lalu ditemui lemas, hari ini.
Mayat Razmel Abdul Rahim, 31, ditemui Pasukan Polis Marin (PPM) ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jam 8.39 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mayat mangsa ditemui di lokasi jeti kedua Karamunting, 600 meter dari lokasi mangsa terjun.

“Pasukan bomba kemudian mengambil mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat pada 10.12 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, mangsa dikatakan secara tiba-tiba terjun ke laut melalui tingkap di tingkat empat sebuah feri yang ketika itu memulakan perjalanan ke Filipina, jam 6.45 petang, Rabu lalu.
Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan memaklumkan kejadian berkenaan. – Info X