KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, beliau masih belum menerima apa-apa makluman rasmi daripada Umno mengenai penggantungan keahliannya seperti yang dikatakan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, semalam.
Bagaimanapun, timbalan ketua menteri itu berkata, pihaknya telah menjangkakan keputusan sedemikian dikenakan terhadap beliau.
“Saya menerimanya dengan berlapang dada dan saya berharap kenyataan yang diberitakan (oleh Bung Moktar) itu boleh dianggap sebagai keputusan rasmi,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook.
Bung semalam mengesahkan Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya digantung keahlian parti selama enam tahun.
“… dia kena gantung selama enam tahun…,” katanya kepada pemberita tanpa mengulas lanjut perkara itu ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Bahagian Umno Kinabatangan.
Pada 7 Januari lepas, Bung mengumumkan Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah menarik sokongan terhadap Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
Namun, Shahelmey bersama empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu kekal menyokong Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkenaan.
Bagaimanapun, pada 21 Feb lepas, keempat-empat ADUN iaitu Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) bersama seorang lagi ADUN UMNO Datuk Hamild@Hamid Awang (Balung) telah mengumumkan keluar parti.
Pada 25 Feb lepas, Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat berkata beliau telah dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO dan selesai membuat pembelaan atas pendiriannya itu. – Info X