Search

7 rumah, 2 kenderaan terbakar di Penampang

March 19, 2023

admin

PENAMPANG: Empat rumah musnah, manakala tiga lagi terbakar 10 peratus dalam kebakaran di Kampung Domis, Jalan Hungab, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, turut musnah terbakar dua kenderaan jenis Toyota Land Cruiser dan Perodua Bezza.

Pasukan bomba memadam kebakaran di Kampung Domis, Jalan Hungab, Penampang.

Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian kebakaran berkenaan.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.59 petang.

Katanya, seramai 38 pegawai dan anggota bersama lima jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Penampang, Kota Kinabalu dan Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi didapati beberapa rumah terbakar dan operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan dari sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.

“Operasi dilaporkan terkawal pada 4.11 petang dan kerja-kerja memadam bara api masih dijalankan oleh pasukan bomba di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kebakaran membabitkan tujuh rumah dan dua kenderaan di Kampung Domis, Jalan Hungab, Penampang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan tujuh rumah dan empat daripada musnah terbakar.

“Empat rumah musnah manakala tiga lagi rumah terbakar 10 peratus. Turut musnah dua kenderaan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi kebakaran turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). – Info X