KUDAT: Tindakan seorang lelaki warga Filipina menangkap ikan menggunakan bahan letupan menerima padah apabila ditahan Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.
Suspek berusia 57 tahun itu ditahan Maritim Malaysia dalam Op Pluto Timur pada kedudukan 0.82 batu nautika tenggara Pulau Lingkutan, Banggi jam 11 malam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya mengesan sebuah bot pam yang sedang berapung disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan.

Katanya, bot peronda Maritim Malaysia, diatur gerak selepas menerima maklumat dan menemui sebuah bot sedang berapung di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan ke atas bot itu mendapati ia dikendalikan seorang lelaki warga Filipina tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
“Turut ditemui bahan letupan serta peralatan mengebom ikan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Menurutnya, bot serta suspek terbabit ditahan dan dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk diserakan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang salah laku jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” jelasnya. – Info X