Search

Pekan Sipitang dilanda banjir kilat

March 26, 2023

admin

SIPITANG: Kawasan Pekan Sipitang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak malam tadi.

Antara kawasan yang dinaiki air ialah di Pekan Sipitang (Gelanggang Futsal), kawasan Bestamart, dan Lorong Cempaka 1.

Berdasarkan rakaman video kejadian yang ditularkan netizen di laman sosial Facebook menunjukkan air banjir hingga memasuki premis perniagaan di kawasan pekan berkenaan.

Pekan Sipitang dilanda banjir kilat. – Foto Media Sosial

Rata-rata netizen mendakwa kejadian banjir kilat itu jarang berlaku dan antara punca kejadian disebabkan masalah sistem perparitan di kawasan pekan berkenaan.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sipitang turut menjalankan pemantauan dan rondaan di lokasi yang terjejas banjir.

Anggota polis menjalankan pemantauan di lokasi yang terjejas susulan banjir kilat di Pekan Sipitang. – Foto Media Sosial

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hari ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.

MetMalaysia menerusi amaran yang dikeluarkan pada 4.55 pagi ini memaklumkan, antara kawasan berkenaan iaitu Pedalaman Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort.

“Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran Kudat Pitas dan Labuan sehingga 9 pagi.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu kawasan,” katanya. – Info X