PUTATAN: Selepas hampir 16 jam hilang, mayat seorang lelaki yang dilaporkan hanyut ketika menyelamatkan anak lelakinya yang terjatuh bersama kereta miliknya di sungai Kampung Imbahan, di sini, ditemui pagi tadi.
Mayat Lasibi Lawahidu, 40, ditemui jam 9.15 pagi pasukan penyelamat dengan menggunakan dron dari Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi pencarian hari kedua hari ini bermula jam 6 pagi selepas ditangguh 12.30 tengah malam tadi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan hampir 70 pegawai dan anggota daripada setiap agensi keselamatan menjalankan tigas pencarian.
“Alhamdulillah, pada jam 9.15 pagi tadi, pasukan penyelamat SAR berjaya menemukan mangsa dalam keadaan terapung dengan jarak 300 meter daripada lokasi di mana mangsa dilihat tenggelam ketika menyelamatkan anaknya semalam.
“Mangsa telah kita keluarkan dari sungai dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya, hasil kolaborasi agensi keselamatan dalam operasi SAR ini, pasukan penyelamat berjaya menemukan mangsa dalam masa yang cepat daripada jangkaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
“Operasi disertai PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah; PGU, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela); dan penduduk kampung.
Terdahulu, kejadian jam 5.30 petang semalam, mangsa Lasibi Lawahidu, 40-an, dikatakan terjun ke dalam sungai berkenaan selepas kereta jenis Perodua Myvi yang ketika itu dinaiki anaknya Mushab Umair Lasibi, 5, secara tiba-tiba bergerak lalu terjatuh ke dalam sungai.
Mangsa yang berada di tebing dan sedang memancing kemudian bertindak terjun untuk menyelamatkan anaknya dan mangsa sempat mengeluarkan anaknya daripada kereta sebelum dibantu oleh orang awam yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun ketika lelaki terbabit menyambut kanak-kanak itu, mangsa tiba-tiba hilang dipercayai tenggelam.
Sementara itu, Mohd Haris mengingatkan orang awam yang tinggal di sekitar Putatan, supaya tidak melakukan aktiviti di sungai berkenaan.
“Dua tahun lalu, kejadian masa turut berlaku membabitkan kanak-kanak lemas di kawasan yang sama. Jadi kita khuatir mungkin akan berlaku lagi kejadian sama di masa hadapan.
“Oleh itu, polis memberi nasihat kepada penduduk di sekitar Putatan, untuk tidak melakukan aktiviti riadah seperti memancing di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian serupa berulang,” katanya. – Info X