Search

MAN Matunggong mulakan usaha bukukan adat resam Rungus

March 30, 2023

admin

KUDAT: Mahkamah Anak Negeri (MAN) Matunggong telah memulakan usaha untuk membukukan adat resam Rungus bagi digunakan sebagai rujukan terutamanya generasi akan datang.

Pembantu Menteri kewangan, Datuk Julita Majungki yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong bagaimanapun mahu penulisan mengenai hal ehwal adat resam dan budaya itu diperkembang dan diperkayakan lagi.

“Komuniti Rungus kaya dengan adat resam dan budaya, adat resam ini diperturunkan melalui pembelajaran cara hidup serta diajar secara lisan sebelum ini.

“Komuniti Rungus masih menyimpan kebanyakan daripada amalan budaya dan adat resam mereka sejak sekian lama,” katanya pada program bersama ketua-ketua kampung dalam Zon Tambuluran di sini pada 28 Mac.

Pada program itu, Julita turut mencadangkan agar MAN dapat mengambil inisiatif yang lebih serius untuk membukukan kekayaan adat resam Rungus dan beliau dimaklumkan bahawa usaha tersebut sudah dimulakan.

“Tetapi penulisan mengenai hal ehwal adat resam dan budaya ini masih boleh diperkembangkan serta diperkayakan lagi untuk rujukan generasi akan datang.

“Adat resam yang boleh memperkukuhkan nilai-nilai baik dalam komuniti harus dijaga dan dipupuk,” katanya.

Sementara itu, Julita berkata, program yang diadakan itu juga adalah untuk menghargai komitmen ketua-ketua kampung di Zon Tambuluran dalam program konsultasi ketua-ketua adat bersama MAN.

Katanya, program ini akan diteruskan untuk memperkasa peranan MAN dan ketua-ketua kampung di kawasan Matunggong. – Info X