LAHAD DATU: Hari Ulang Tahun Ke-10 penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) diraikan dengan Upacara Perbarisan oleh warganya yang berhimpun di Dewan Markas Pangkalan Polis Marin, Lahad Datu, hari ini.
Dihadiri seramai 136 pegawai kanan anggota keselamatan pelbagai pangkat dari ketiga-tiga perkhidmatan utama Esscom iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia (APMM) menyertai perbarisan itu, serta warga awam Esscom.
Perbarisan yang terdiri daripada tiga kontinjen itu diketuai oleh Kept (M) Mohd Rizal Hishamuddin, Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi Laut, manakala bacaan doa dipimpin oleh Pegawai Waran II Badrul Hisham Mohamed Sudin dari Bahagian Tadbir dan Logistik serta lafaz ikrar perkhidmatan awam diketuai oleh Mohd Affendi Md Salleh dari Bahagian Awam Esscom.

Komander Esscom, Datuk Hamzah Ahmad hadir ke acara ini dan menerima Tabik Hormat serta menyampaikan amanat kepada seluruh warga Esscom.
Penubuhan Esscom pada 1 April 2013 adalah demi memastikan kedaulatan negara serta kesejahteraan hidup masyarakat khasnya di pantai Timur Sabah sentiasa terpelihara, susulan insiden pencerobohan Tanduo.
Esscom diberikan tanggungjawab melindungi keselamatan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) daripada sebarang bentuk ancaman keselamatan termasuk di kawasan perbatasan dan perairan pantai Timur Sabah.
Terdahulu, Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Ihya Ramadan telah diadakan pada 30 Mac 2023 diikuti Program ‘Back To School’ Esscom di Esszone dan majlis Solat Jumaat di Masjid Ar-Raudhah serta bacaan teks khutbah Jumaat yang menekankan aspek tanggungjawab masyarakat untuk bersama-sama pasukan keselamatan memelihara keamanan dan ketenteraman awam di pantai Timur Sabah.
Turut hadir, Timbalan Komander Eastern Command, Brigadier Jeneral Johari Ismail, Ketua-ketua Staf, pengarah bahagian dan pegawai kanan ESSCOM. – Info X