TAWAU: Intipan dan pemantauan yang dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) melalui Op Kontraban di Kampung Jawa Kongsi, Batu 10, di sini, berjaya mematahkan aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai, awal pagi tadi.
Operasi kira-kira jam 6 pagi itu, sepasukan kecil anggota PPM Tawau membuat pemantauan di kawasan berkenaan dan terkesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan memunggah bakul plastik keluar dari kereta jenis Proton Pesona.
Menyedari dihampiri pasukan serbuan, suspek berjaya melarikan diri dan meninggalkan keretanya.

Hasil pemeriksaan terhadap kereta yang ditinggalkan membawa kepada rampasan 500 katon rokok pelbagai jenama.
Nilai rampasan kereta dan rokok dianggarkan berjumlah RM121,800.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan rampasan berkenaan.
Katanya, rampasan itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut. – Info X