Search

Australia juga perlu dedah laporan penuh nahas ‘Double Six’ – Yong

April 6, 2023

admin

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee menyeru kerajaan supaya secara rasmi meminta kerajaan Australia untuk mengeluarkan laporan penuh mereka mengenai nahas pesawat ‘Double Six’.

Ini kerana, katanya, alasan yang digunakan oleh Arkib Negara Australia dalam menahan penerbitan laporan penuh adalah bahawa “Pelepasan maklumat dijangka boleh mengakibatkan kerosakan hubungan antarabangsa Komanwel” (Australia).

Beliau berkata, alasan lain yang dinyatakan oleh Arkib Negara Australia ialah “Malaysia masih belum mengeluarkan laporan akhir dan penuh siasatan mereka secara terbuka.”

“Arkib Negara Australia menamakan laporan itu sebagai “Accident Malaysia Nomad Aircraft 9M-ATZ on 6 June 1976”.

“Dalam dua balasan kepada wakil saya bertarikh 14 Mac 2012, Arkib Negara Australia telah menyatakan bahawa “rekod mereka mengandungi butiran teknikal” “yang boleh memberi kesan kepada hubungan semasa Komanwel (Australia) dengan kerajaan negara asing.

“Dalam kes ini, negara asing itu bermakna Malaysia dan bukan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yong berkata, kedua-dua laporan Malaysia dan Australia mesti diterbitkan sepenuhnya kerana Arkib Negara Australia juga telah mendedahkan bahawa “bahagian tertentu teks telah dihapuskan”.

“Balasan daripada arkib Australia mendedahkan bahawa sejumlah 110 folio ditahan daripada diterbitkan, setiap folio mengandungi lebih daripada satu halaman.

“Hanya pelepasan laporan penuh, di Malaysia dan Australia, boleh menutup babak sejarah Sabah yang amat menyakitkan ini,” katanya.

Terdahulu, semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mendedahkan laporan siasatan persekutuan kepada umum mengenai nahas pesawat 1976 yang mengorbankan 11 orang, termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Allahyarham Tun Fuad Stephens.

Katanya, kerajaan memahami keresahan ahli keluarga mangsa terbabit dan tuntutan rakyat Sabah selama 47 tahun yang mahu mengetahui tragedi mengakibatkan pemimpin utama negeri itu terkorban.

Beliau, keputusan kerajaan menghebahkan atau dinyahklasifikasi laporan tersebut sebagai tanda keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan Kerajaan Perpaduan. – Info X