KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dan barisan kejurulatihan pasukan itu perlu bertanggungjawab sekiranya mereka tewas lagi dalam pertemuan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Jelani Hamdan menerusi hantarannya di Facebook, baru-baru ini, berkata, jutaan ringgit telah disalurkan kepada Sabah FC musim ini dan ianya adalah duit rakyat.
“Kalah dengan JDT difahami. Kalah kali kedua dengan KL City..ya kita tahu ramai pemain belum berapa pulih sepenuhnya dan ketiadaan Park Tae Soo amat dirasai.
“Tapi kalau kalah lagi kali ketiga pada 10/4/2023 dengan Negeri Sembilan FC, DOKS (Kim Swee) dan barisan kejurulatihannya perlu buat ‘post mortem’ dan bertanggungjawab.
“Bukan murah ‘maintain’ Sabah FC..juta-juta. Ini duit rakyat Sabah. Saya tak kisah orang kutuk saya dengan posting ini,” katanya dalam hantaran itu.

Sementara itu, Sabah FC sekali lagi berdepan tugas berat untuk mengembalikan kemenangan pasukan dalam pertemuan Liga Super menentang NSFC, malam ini.
Ia bermakna anak buah Datuk Ong Kim Swee perlu bekerja keras memastikan Sabah FC tidak mengalami kekalahan ketiga berturut-turut setelah kecundang dalam dua perlawanan di tempat lawan sebelum ini.
Namun, pertemuan menentang NSFC pasti sukar, lebih-lebih lagi bermain di gelanggang lawan, selain prestasi tuan rumah yang dilihat semakin baik, hanya berbeza tiga anak tangga di bawah Sabah FC setelah melakar dua kemenangan, dua seri dan dua kekalahan sebelum ini.
Jika kalah di tangan NSFC, bermakna harapan Sabah untuk memulihkan kedudukan dari tangga keenam ketika ini semakin sukar.
Ketika mengulas perlawanan menentang KL City sebelum ini, Kim Swee mengakui kelalaian dan hilang fokus anak buahnya menyebabkan skuad Sang Badak tewas 2-0 setelah dibelasah 4-0 ketika pertemuan dengan JDT sebelum ini.
Katanya, ia menjadi pengajaran kepada pasukannya dan mengingatkan anak buahnya supaya tidak lagi mensia-siakan peluang jika mahu mencipta gol dan mengutip mata untuk dibawa pulang.
“Kita mengawal permainan dengan baik tetapi kita tak berjaya menjaringkan gol manakala pihak lawan pula mengambil kesempatan dan saya percaya pasukan KL City berlatih corak permainan seperti mana yang mereka inginkan.
“Kita harus menerima kekalahan dengan satu pengajaran iaitu kita tidak boleh lagi mensia-siakan peluang jika kita ingin mata selepas ini,” katanya.
Setakat ini, Sabah FC baru mengumpul 13 mata melalui empat kemenangan, satu seri dan dua kekalahan selepas tujuh perlawanan, berada di tangga keenam di belakang Terengganu FC. – Info X
Kredit foto – Sabah FC