KOTA KINABALU: Sebanyak 70 peratus anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di negeri ini dan Labuan akan bertugas sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, operasi menjaga keselamatan perairan negara khususnya di Sabah akan ditingkatkan dan anggota Maritim Malaysia tetap bertugas tanpa mengira masa termasuk pada Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, pihaknya turut mengaktifkan Operasi Khas Pagar Laut yang dilancarkan pada 8 April 2023 lalu.
“Op Khas Pagar Laut ini dilaksanakan pada 9 April sehingga 30 April ini yang bertujuan mengekang dan memerangi aktiviti penyeludupan barang-barang kawalan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Selain itu memantau pergerakan bot yang membawa keluar barang dan penumpang melalui jeti yang tidak dibenarkan,” katanya pada majlis mengagihkan kuih raya kepada anggota maritim yang bertugas di Hari Raya Aidilfitri di Pejabat Maritim Negeri Sabah dan Labuan, di sini, semalam.

Bingkisan kuih raya diagihkan kepada Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Sabah dan Labuan, Pengarah Zon Maritim Labuan, Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Pengarah Sistem Pengawasan Maritim Laut (SWASLA).
Mohd Rosli juga berkata, Kesiapsiagaan aset-aset Maritim Malaysia berada dalam tahap yang optimum siap untuk digerakkan.
“Sebanyak tiga buah kapal dan 16 buah bot peronda maritim beroperasi setiap hari dan jumlah aset yang beroperasi akan bertambah menjelang musim perayaan.
“Maritim Sabah tetap bertugas dan beroperasi seperti hari-hari biasa, musim perayaan ini juga tidak akan menjejaskan tugas operasi Maritim Sabah dan Labuan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Rosli berkata, pengusaha feri dan bot penumpang dinasihatkan untuk tidak mengabaikan keselamatan penumpang serta tingkatkan keselamatan dan tidak hanya mementingkan keuntungan.
Katanya, pastikan feri dan bot menyediakan jaket keselamatan untuk penumpang serta peralatan keselamatan yang lain di atas vesel.
“Komuniti maritim juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan laut ketika melakukan aktiviti di laut supaya tidak berlaku insiden yang tidak diingini.
“Selain itu, diseru kepada semua komuniti maritim untuk menjadi mata dan telinga kepada Maritim Malaysia bagi melaporkan sebarang kegiatan jenayah dan kecemasan di laut melalui talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah yang beroperasi 24 jam di talian 088-387774 dan MERS 999,” katanya. – Info X