SEPULUT: Seorang daripada tiga mangsa yang dilaporkan hilang di Sungai Penawan, Kampung Sin-Singon, di sini, pada Selasa, ditemui mati lemas, hari ini.
Mangsa Joffizan Joffrinos, 9 tahun ditemui terapung di tepi sungai oleh orang awam, kira-kira 4.30 petang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi pencarian hari ketiga bersama agensi dan penduduk kampung dimulakan pada 8.31 pagi.
Katanya, lokasi pencarian bermula daripada Jeti Salung ke Kampung Pagalungan.
“Seorang mangsa kanak-kanak lelaki berjaya ditemui oleh orang awam kira-kira 15 kilometer dari lokaso bot karam.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian ditangguhkan kira-kira jam 5 petang dan akan disambung esok pagi.
Terdahulu kelmarin, Joffrinos Palandok, 36 tahun bersama isteri Lerina Rody, berusia 26 tahun dan tiga anak mereka iaitu Carbrineleyvonne , 7, Joffizan, 9, dan Jilan, 5 tahun dikatakan menaiki bot dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Sinsingon selepas dari kebun.
Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, dipercayai arus sungai yang deras menyebabkan bot dinaiki mereka karam.
Susulan kejadian itu, mayat Lerina ditemui oleh penduduk kampung, pada 3.15 petang kelmarin manakala Joffrinos dan Jilan berjaya menyelamatkan diri.
Carbrineleyvonne dan Joffizan serta seorang lelaki iaitu Lasimin Mantun, berusia 38 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika operasi SAR dua beradik itu semalam, hilang. – Info X