TAWAU: Dua remaja lelaki yang disyaki dalang kegiatan curi motosikal di sekitar daerah ini, akhirnya dicekup dalam serbuan polis, kelmarin.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 16 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan bermula jam 10 hingga 10.40 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan lanjut dengan dipandu arah oleh suspek kedua membawa Polis ke sebuah kebun kelapa sawit di Batu 8, Jalan Apas.
“Pemeriksaan kemudian menemui sebuah motosikal yang disyaki dicuri dengan cara disembunyikan di bawah pelepah kelapa sawit.
“Motosikal itu dilaporkan hilang disyaki dicuri pada 7 April 2023 yang lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua remaja terbabit direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksan.

Sementara itu, katanya tangkapan itu adalah salah satu usaha PDRM Tawau khususnya di kawasan pentadbiran Balai Polis Sri Indah (BSI) dalam mengatasi masalah kecurian motosikal di samping mencegah aktiviti jenayah di daerah ini.