Search

Bot kargo lebih muatan ditahan Maritim Malaysia

April 16, 2023

admin

TAWAU: Padah bawa lebih muatan pelbagai barang runcit, sebuah bot kargo tempatan ditahan Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Bot kargo ditahan Maritim Malaysia Zon Tawau menerusi Ops Khas Pagar Laut di kedudukan 1.4 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau, jam 7.20 malam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Khas Pagar Laut mengesan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan bergerak dari perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

Kapal kargo ditahan kerana membawa lebih muatan di perairan Tawau. – Foto Maritim Malaysia

Katanya, pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan mendapati dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 31 dan 45 tahun bertindak selaku juragan dan pembantu bot berkenaan.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot itu menemukan barang kawalan iaitu 53
kotak minyak masak paket berjumlah 901 kilogram yang disembunyikan di bawah timbunan barang-barang runcit.

“Pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati lesen yang dibenarkan hanya terhad kepada 500 kilogram sahaja untuk setiap penghantaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bot dan muatan serta kedua-dua kru bot ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana didapati cuba membawa barang kawalan melebihi kuota yang dibenarkan.

Bot kargo membawa pelbagai barangan runcit ditahan kerana bawa lebih muatan di perairan Tawau. – Foto Maritim Malaysia

“Semua barangan yang berlebihan termasuk bot kargo dan enjin bot disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM50,000,” katanya.

Sementara itu, katanya statistik tangkapan Zon Maritim Tawau merekodkan 17 kes pelbagai kesalahan bagi suku tahun pertama 2023 dan kes pertama untuk Ops Khas Pagar Laut.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan
pengoperasian terutama ketika musim perayaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya. – Info X