Search

Nenek maut selamatkan cucu dari dilanggar motosikal

April 18, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seorang wanita maut dirempuh motosikal apabila menyelamatkan cucunya daripada dilanggar ketika melintas jalan raya di Jalan UMS, berhampiran Kampung Rampayan, Manggatal, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 8.45 pagi itu, mangsa berusia 56 tahun yang cedera dibahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Penunggang motosikal berusia 46 tahun yang cedera di bahagian kepala turut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian

Sementara itu, cucu perempuan wanita terbabit berusia sembilan tahun luka dan pembonceng wanita berusia 47 tahun hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menaiki motosikal bersama teman wanitanya bergerak dari arah Indah Permai menuju ke 1Borneo.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang wanita tiba-tiba melintas jalan bersama cucunya.

“Penunggang motosikal gagal mengelak dan terus merempuh mangsa wanita terbabit sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Kanak-kanak perempuan terbabit hanya mengalami kecederaan ringan selepas sempat ditolak oleh neneknya bagi mengelakkan daripada dilanggar motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pembonceng motosikal turut mengalami kecederaan ringan di muka dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Katanya, semua mangsa yang terlibat tidak disyaki mabuk namun spesimen kedua-dua mangsa yang maut akan diambil untuk dianalisa ke Jabatan Kimia.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X