Search

Liputan Gerhana Matahari Separa di Tawau capai 43 peratus

April 20, 2023

admin

TAWAU: Daerah ini buat julung kalinya dipilih sebagai Program Pencerapan Gerhana Matahari Separa yang berlaku pagi tadi.

Program berkenaan dianjurkan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah bersama Planetarium Negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata rakyat di negeri ini khusus di Tawau berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Separa bermula pada jam 11 pagi tadi.

Katanya, daerah Tawau merupakan lokasi yang mendapat litupan permukaan Matahari paling tinggi iaitu maksimum pada kadar 43 peratus.

“Bagi program di daerah ini, Planetarium Negara telah menyediakan cermin mata gerhana secara percuma bagi membolehkan pengunjung mudah menyaksikan fenomena ini.

“Beberapa buah teleskop dengan penuras khas juga turut disediakan supaya pengunjung dapat menyaksikan Gerhana Matahari Separa dengan jelas dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada program tersebut di perkarangan Perpustakaan Tawau, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang; ADUN Kukusan, Rina Jainal dan Setiausaha Tetap KSTI Sabah, Zainudin Aman. – Info X