KINABATANGAN: Seorang lelaki ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam tasik ketika memancing di Estate Melewar Paris 3, di sini, hari ini.
Mangsa yang berusia 43 tahun terbabit dipercayai lemas selepas mengalami kekejangan ketika turun ke tasik berkenaan untuk melepaskan tali pancing yang tersangkut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 12.15 tengah hari.
“Menurut pemanggil mangsa melakukan aktiviti memancing ikan di tasik bersama rakan-rakan.
“Mangsa terjun ke dalam tasik untuk melepaskan tali pancing yang tersangkut dan mengalami kekejangan lalu lemas dan dia kemudian ditemui pada jam 3.06 petang oleh pasukan bomba bersama orang kampung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi kemudian ditamatkan pada jam 3.35 petang. – Info X