Search

Dua maut, satu parah dalam kemalangan dua kenderaan

April 30, 2023

admin

KOTA KINABALU: Dua maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan UMS, dekat University Apartment (UA1), di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa Herman Abdullah, 20, yang memandu Proton Wira Aeroback bersama penumpang wanita yang belum dikenal pasti identitinya meninggal dunia di tempat kejadian.

Pasukan bomba mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Wira Aeroback. – Foto Bomba

Pemandu Proton Saga, lelaki berusia 34 tahun parah dikejarkan ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut.

Pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut berada di lokasi kemalangan untuk pemeriksaan dan siasatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima maklumat jam 10.48 pagi dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu segera dikerah ke lokasi.

Keadaan dua kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan UMS, dekat University Apartment (UA1), Kota Kinabalu. – Foto Bomba

“Sebaik tiba di lokasi, kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Proton Saga dan Proton Wira Aeroback.

“Terdapat dua mangsa tersepit di Proton Wira Aeroback dikeluarkan oleh pasukan bomba. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemandu Proton Saga yang tersepit dikeluarkan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Likas.

“Kedua-dua mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

“Anggota bomba turut melakukan pembersihan serpihan kaca di lokasi dan operasi tamat jam 12.20 tengah hari,” katanya. – Info X