Search

Jauteh kini Pesuruhjaya Polis Sabah, Timbalan Shahurinain

May 2, 2023

admin

KOTA KINABALU: Datuk Jauteh Dikun, 57, secara rasminya dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, hari ini.

Pelantikan itu dibuat dalam satu Majlis Pemakaian Pangkat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, di Auditorium, IPK Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh sebelum ini Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dilantik sebagai Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah menggantikan Datuk Idris Abdullah yang bersara pada 31 Mac lalu.

Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (tengah) menyaksikan Jauteh (kiri) menyerahkan dokumen serah terima tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah kepada Shahurinain (kanan).

Turut berlangsung, Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah antara Jautah kepada bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Deputi Komisioner Polis, Shahurinain Jais.

Acryl Sani berkata, pelantikan Jauteh sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah amat bertepatan bagi memastikan tahap keselamatan, ketenteraman Sabah terus terpelihara.

Katanya, Sabah adalah negeri yang penuh dengan daya tarikan daripada pelancong serta pelawat bukan sahaja dari dalam negeri tetapi pengunjung luar.

“Sebagai salah satu negeri destinasi pelancongan utama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat menitikberatkan tahap keselamatan sama ada dari segi ancaman jenayah mahupun aktiviti yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan orang ramai.

“Kehadiran Jauteh juga diyakini mampu memastikan tahap keselamatan Sabah kekal terpelihara seiring kedatangan pelawat ke negeri ini berjalan lancar, selamat dan terus berkembang seterusnya meningkatkan tahap ekonomi Sabah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kehadiran Shahurinain sebagai timbalan Jauteh yang dinaikkan pangkat daripada Senior Asisten Komisioner kepada Deputi Komisioner juga mampu mengendalikan urusan kepolisan Sabah dengan lancar melalui pengalaman dimiliki sebelum ini.

“Shahurinain adalah seorang pegawai yang berpengalaman dalam bidang jenayah dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

“Saya yakin dan pasti dengan pengalaman yang ada pada beliau akan dapat membantu Jauteh sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah untuk mentadbir dan juga mengendalikan urusan-urusan kepolisan di Sabah ini,” katanya. – info X