Search

Henti gugat Kerajaan Perpaduan – MP Sabah

May 6, 2023

admin



KOTA KINABALU: Dua Ahli Parlimen Sabah menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan menggesa sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dihentikan.

Menyuarakan sokongan penuh terhadap Anwar, mereka berkata kerajaan kini dalam haluan yang betul termasuk untuk membawa kemajuan kepada Sabah.

Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda dalam kenyataan ringkas berkata dia yakin dengan kemampuan Anwar mentadbir negara.

“Saya amat yakin kemampuan PM untuk membawa Malaysia yang lebih maju, terutama dalam memperjuangkan mengatasi masalah kemiskinan di Kota Marudu dan Negeri Sabah,” kata Wetrom yang juga timbalan presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM).

Sementara itu, Ahli Parlimen Tenom Riduan Tubin berkata, tumpuan pada masa ini haruslah diberikan untuk menangani segera isu ekonomi.

“Saya amat bimbang dan khuatir bahawa perkara ini boleh mengundang kepada ketidakstabilan politik sekaligus merencatkan usaha kerajaan dalam menangani masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara pada masa ini.

“Contohnya, di kawasan yang saya wakili iaitu Parlimen Tenom sangat memerlukan kerajaan perpaduan ini terus stabil bagi membolehkan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat iaitu bekalan air, elektrik, jalan raya, internet, perumahan rakyat dan ekonomi.

“Bagi meredakan suhu politik negara saya mengajak agar semua pihak sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang mengenepikan isu politik, sebaliknya bekerjasama dan bertanggungjawab agar kerajaan dapat menumpukan usaha memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Khabar angin berkenaan pertukaran kerajaan kembali timbul akhir bulan lalu.

Antaranya dakwaan berkenaan komplot untuk menjatuhkan kerajaan menerusi peletakan jawatan sejumlah ahli parlimen kerajaan, dengan mereka akan bertanding semula di bawah tiket PN.

Ada juga laporan menyatakan bahawa pembangkang sudah mempunyai SD yang mencukupi dan akan menamakan calon perdana menteri dalam masa terdekat.

Bagaimanapun Anwar semalam menyuarakan keyakinannya bahawa pentadbiran yang diterajuinya akan kekal sehingga pilihan raya akan datang. – Info X