BEAUFORT: Seorang pegawai bomba yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja maut selepas motosikal ditunggangi terlanggar kerbau di Jalan Bandau/Kuala Penyu, Kampung Purun, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, Pegawai Bomba (BP) Mohd Haziq Abdul Jalil, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Penyu, pada 11.30 malam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC seorang diri dari tempat kerja menuju pulang ke rumah di Kampung Tidong, Kuala Penyu.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian dipercayai motosikal ditunggangnya terlanggar seekor kerbau yang berada di atas jalan raya.
“Akibat kejadian itu, mangsa bersama motosikalnya terjatuh di atas jalan raya dan mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Penyu oleh ambulans.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan akibat parah di bahagian kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yusoff Zaki berkata, kerosakan utama motosikal mangsa akibat kemalangan adalah di bahagian hadapan.
“Siasatan juga di tempat kejadian mendapati keadaan gelap tanpa lampu jalan dan cuaca baik.
“Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, arwah ditemui oleh orang awam terbaring di atas jalan raya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Penyu sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Arwah bertugas di BBP Kimanis di bahagian operasi dan ketika itu dalam perjalanan pulang dari kerja (shift pagi).
“Arwah meninggalkan seorang isteri Johanita Saprin berusia 32 tahun,” katanya. – Info X