Search

Tiga kes strok haba di Sabah setakat ini

May 15, 2023

admin



KOTA KINABALU: Sebanyak tiga kes strok haba akibat cuaca panas dilaporkan berlaku di Sabah sepanjang tempoh 15 April hingga 12 Mei.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, ketiga-tiga kes itu membabitkan dua pepajar sekolah dan seorang wanita dewasa.

Katanya, ketiga-tiga pesakit berkenaan telah selesai menerima rawatan dan telah sembuh sepenuhnya.

“Kes pertama membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun yang dimasukkan ke wad pada 15 April dan telah dibenarkan balik ke rumah pada 18 April.

“Kes kedua pula membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 9 tahun yang dimasukkan ke wad pada 30 April dan dibenarkan keluar wad pada 2 Mei.

“Manakala kes ketiga membabitkan seorang wanita berusia 27 tahun yang hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar pada 29 April,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rose Nani berkata, cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan seseorang cepat berpeluh lalu menyebabkan cecair dalam badan berkurangan.

Katanya, antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas ialah badan terasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi cepat, pening, mual dan boleh mengakibatkan sawan atau pengsan.

Beliau berkata, kanak-kanak atau warga emas adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan daripada keadaan itu.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyarankan beberapa langkah bagi mengelak berlakunya penyakit berkaitan cuaca panas.

Antaranya termasuk menangguhkan atau menghadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, mendaki gunung dan aktiviti luar yang lain semasa berlakunya gelombang haba ini.

“Orang ramai juga dinasihat memendekkan aktiviti di luar rumah seperti berkebun atau membersihkan laman rumah, ataupun berehat secara berkala dan minum air kosong yang banyak pada setiap kali waktu rehat semasa melakukan aktiviti berkenaan.

“Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya minum air masak yang secukupnya bagi mengelak dehidrasi, memakai pakaian yang ringan, cerah dan longgar untuk mengelak pemerangkapan haba, elakkan memakai pakaian yang berwarna gelap, berat dan ketat.

“Dinasihatkan juga supaya memakai topi atau payung bagi melindungi diri daripada pancaran haba terus ke badan selain menyejukkan badan menggunakan kipas atau penghawa dingin,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai juga dinasihat supaya segera berjumpa dengan doktor jika mengalami tanda-tanda awal kelesuan haba dan strok haba. – Info X