Search

LKM sasar perolehan eksport RM8.0 bilion

May 15, 2023

admin



KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan Dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Lembaga Koko Malaysia (LKM) mensasarkan perolehan eksport berjumlah RM8.0 bilion tahun ini.

Sehubungan itu, katanya, pelbagai program perlu dilaksanakan termasuk promosi antarabangsa dan domestik bagi mencapai jumlah berkenaan.

“Pada tahun ini LKM menyasarkan pencapaian sebanyak RM8.0 bilion. Oleh itu, pelbagai program seperti promosi antarabangsa dan domestik perlu dilaksanakan sebaik mungkin untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, satu memorandum persefahaman antara LKM dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dimeterai bagi membangunkan aktiviti koperasi negara melalui penyediaan keperluan untuk menyokong aktiviti koperasi kluster koko di negara ini.

Fadillah berkata, kerjasama di antara dua entiti berkenaan telah bermula sejak 2021 membabitkan pembinaan dua kilang mini pemprosesan koko di Sabah, dan satu di Sarawak dengan jumlah dana sebanyak RM150,000.

“Kerjasama telah bermula pada tahun 2021 yang mana pihak ANGKASA telah memberikan dana sebanyak RM150,000 untuk pembinaan dua mini pemprosesan koko di Sabah dan satu di Sarawak yang telah siap pada tahun 2022 dan telah digunapakai oleh petani koko.

“Semoga kerjasama ini akan berterusan demi membantu meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.

Untuk rekod, industri koko pada tahun 2022 menyumbang sebanyak RM7.82 bilion melalui perolehan eksport, iaitu meningkat berbanding RM6.87 bilion pada tahun 2021. – Info X