KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyifatkan cadangan Perjanjian Malaysia baharu sebagai “pendek akal dan mengelirukan”.
Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah dokumen yang suci dan cukup bermakna sebagai asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia.
“Maksudnya, tanpa MA63 tiadalah Malaysia.Tambahan pula, pindaan perlembagaan yang diluluskan sebulat suara oleh Parlimen pada Disember 2021, MA63 kini menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.
“Cadangan untuk Perjanjian Malaysia baharu seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan disokong oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan adalah tidak munasabah, mengelirukan dan boleh melemahkan negara,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Maximus menegaskan
tidak patut untuk mana-mana rakyat Malaysia mengabaikan MA63 dan menggantikan dengan perjanjian baharu, apalagi kandungan perjanjian yang tidak jelas.
“Adakah perjanjian baharu itu akan mengukuhkan asas dokumen MA63, atau ianya diabaikan?
“Berdasarkan penerangan terhad yang diberikan oleh para pencadang mengenai perjanjian baharu ini, saya berpendapat ia adalah tindakan yang salah untuk mengabaikan MA63 semata-mata untuk mengantikannya dengan perjanjian baharu.”
“Saya juga sependapat dengan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahmah Hamzah dalam menyifatkan cadangan baharu itu sebagai ‘idea gila’ kerana tiada siapa yang harus mengubah perjanjian asas yang telah membawa kepada pembentukan Malaysia.
“Ia sama dengan memutuskan ikatan yang menyatupadukan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, dan Sarawak pada 1963. Tindakan ini akan mengembalikan kita kepada status asal dan terpaksa mengkaji semula identiti negeri masing-masing,” katanya. – Info X