Search

AIRASIA FILIPINA RANCANG LEBIH BANYAK PENERBANGAN TERUS KE SABAH

July 6, 2022

admin

KOTA KINABALU: AirAsia Filipina berhasrat mewujudkan lebih banyak penerbangan terus ke Sabah dengan Sandakan adalah salah satu destinasi yang termasuk perancangan itu.

Penerbangan terus yang dirancang itu termasuk daripada Puerto Princesa dan Davao selain mungkin mewujudkan penerbangan terus antara Zamboanga dan Sandakan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, negeri ini mengalu-alukan perancangan yang dibuat AirAsia Filipina itu kerana ia mampu melonjakkan lagi ekonomi di antara kedua-dua negara iaitu Malaysia khususnya Sabah serta Filipina.

“Salah satu perancangan dalam Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan kepada lapangan terbang antarabangsa, kita juga perlu terokai untuk mewujudkan lebih banyak penerbangan terus ke negeri ini.

“Selain itu, Tawau yang menjadi pintu masuk penerbangan sebelum ke Semporna juga mungkin berpotensi, jadi sama ada Sandakan atau Tawau, biarlah mereka (AirAsia Filipina) membuat kajian mana yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena kolaborasi bersama antara AirAsia Filipina dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), di sini, semalam.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Joniston Bangkuai; Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Sr Yusrie Abdullah; Timbalan Pengerusi STB, Jelani Hamdan; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STB, Noredah Othman, CEO AirAsia Filipina, Ricky Isla; dan Pengarah Urusan SuperApp AirAsia Fililina Ray Berja. – Info X