KOTA KINABALU: Pemuda Upko Penampang mahu supaya siasatan dilakukan terhadap dakwaan mengatakan sebuah komponen Barisan Nasional (BN) telah menggunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk kepentingan politik.
Ketuanya, Billy Joe Dominic berkata, rakyat ingin tahu dengan lebih terperinci berhubung apa yang telah didedahkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Maximus Ongkili ketika kongres perwakilan tahunan parti berkenaan, baru-baru ini.
“Perbalahan antara PBS dan Umno-BN mengenai ‘Projek IC’ di Sabah memberi gambaran Umno adalah dalang.
“Ini selepas bekas perdana menteri Najib Razak yang membalas tuduhan itu di Facebook dengan mendedahkan Tun Dr Mahathir (Mohamad) iaitu bekas presiden Umno dan perdana menteri merupakan dalang ‘Projek IC’.
“Najib juga mendedahkan bahawa beliau telah melantik mantan Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan untuk mengetuai jawatan kuasa Teknikal pendatang asing di Sabah.
“Laporan jawatan kuasa ini tidak pernah dikeluarkan, Najib dan Pairin perlu beritahu rakyat, apakah tindakan yang diambil oleh jawatan kuasa itu untuk menangani ‘Projek IC’ dan Pati di Sabah. Rakyat berhak untuk mengetahuinya, di manakah laporan jawatankuasa berkenaan?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Billy berkata, sebelum RCI diadakan pada 2013, satu pendengaran Khas oleh Jawatakan kuasa pilihan khas parlimen mengenai intergriti telah diadakan pada 26 Februari 2008.
“Saksi utama pendengaran khas itu, Jabar khan turut mendedahkan nama bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang juga ahli Umno sebagai salah seorang yang terlibat dalam ‘Projek IC’, kenapa perkara ini tidak pernah di siasat?
“Semua pendedahan ini perlu disiasat, rakyat mahu tahu. Mereka yang terlibat mesti bertanggungjawab kerana ini adalah perbuatan khianat kepada kedaulatan negara,” katanya. – Info X