KOTA KINABALU: Semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan sudah digerakkan bagi melaksanakan operasi pemindahan, penyelamatan dan penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas banjir di utara Sabah dan Sandakan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri juga memantau keadaan semasa bagi memastikan bantuan disampaikan dengan cepat dan berkesan.
Beliau turut meluahkan rasa simpati atas musibah banjir yang dihadapi penduduk yang disifatkannya satu ujian, terutama bagi umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa Ramadan.
“Di sebalik keberkatan bulan Ramadan ini, ada saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah banjir.

“Saya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa yang terjejas. Keselamatan rakyat adalah keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.
Ketua Menteri turut merayu kepada semua penduduk di kawasan yang dilanda banjir di Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan serta kawasan berhampiran supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga dan tidak sesekali mengambil sebarang risiko.

“Dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat ini, marilah kita saling mendoakan dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada semua yang sedang diuji,” katanya.
Ends